ASSALAMUALAIKUM WBT
Mengenali sahabat sahabat Nabi SAW boleh meningkatkan iman kita dan meningkat rasa kasih kita kepada RASULULLAH SAW. untuk kali ini saya nak share kisah WIRA ISLAM zaman Rasulullah yang saya kira sangat hebat dan menarik .Subhanallah , hebat iman mereka hingga tiada tolok tandingnya dengan umat akhir zaman. Jom reset minda melalui cerita ini
CHECK IT OUT
Bilal bin Rabah adalah seorang lagi
tokoh sahabat Rasulullah S.A.W. yang kedua pentingnya dalam menegakkan
syiar Islam. Kisah ataupun riwayat hidupnya sebelum dan sesudah memeluk
agama Islam adalah merupakan suatu kisah yang amat memilukan bagi kaum
muslimin yang mengetahui.
Beliau merupakan salah seorang sahabat
Rasulullah S.A.W. yang paling rapat. Kemana sahaja Rasulullah S.A.W.
pergi dia tetap bersama dengannya.
Bilal bin Rabah pada asalnya adalah
seorang hamba kepada sahabat karib Abu Jahal yang bernama Umaiyah bin
Khalaf. Menurut riwayat, setelah Umaiyah mengetahui bahawa Bilal telah
memeluk agama Islam, Umaiyah telah menyiksanya dengan cara yang amat
kejam sekali.
Pernah suatu ketika beliau telah didera
di tengah padang pasir dalam keadaan ditelentangkan dengan badan yang
ditelanjangkan. Di tengah padang pasir dan di bawah keterikan panas
matahari yang membakar itu beliau telah dipukul oleh beberapa orang
tukang pukul dari golongan kaum Quraisy. Tujuan mereka berbuat begitu
ialah agar Bilal kembali kepada agama asalnya.
Oleh kerana keimanan Bilal begitu
menebal, meereka tidak Berjaya mengubah akidahnya. Sebaliknya semakin
hebat dia disiksa semakin galak dia mengingati Allah S.W.T. Semasa dia
disiksa dia tidak henti-henti menyebut: “ Ahad! Ahad!”
Semakin kuat Umaiyah menyiksa dia semakin galakdia menyebut ayat itu.
Melihatkan Bilal bersikap teguh dengan
pendiriannya, lantas Umaiyah menampar mukanya dan berkata :” Hei budak
jahat, engkau benar-benar celaka, aku mahu kau menyebut lata dan uzza.”
Namun demikian, walaupun dia disiksa
dengan sebegitu kejam akan tetapi pada Bilal itu hanyalah merupakan
menambahkan keimanan terhadap agama yang telah diyakininya itu.
Setelah melihatkan segala tindakannya
terhadap Bilal tidak mendatangkan kesan maka Umaiyah pun pergi berjumpa
dengan Abu Jahal. Setibanya dia di rumah Abu Jahal maka Umaiyah pun
bermuafakat dengan nya bagaimana hendak mengatasi masalahnya itu.
Umaiyah berkata kepada Abu Jahal: “
Lebih baik saja kita bunuh budak hitam itu.” “Itu tidak bijak.” Jawab
Abu Jahal. “ Kalau membunuh dia bererti kita lemah dan kalah. Orang akan
menentang kita secara diam-diam,” sambung Abu Jahal.
Umaiyah berkata lagi: “Apakah yang patut
kita lakukan?” “Kita siksa dia sehingga dia tidak berdaya lagi,” kata
Abu Jahal memberi pendapat.
Umaiyah berkata lagi: “ Sampai bila dan
berapa lamakah kita harus menyiksa dia?” “ Sampai dia kafir semula,”
jawab Abu Jahal bangga. Umaiyah tidak berasa puas hati maka dia berkata
lagi :” Ya Abu Jahal, kita sebenarnya masih ketinggalan zaman kerena
belum pernah aku lihat seorang manusia yang begitu sabar menanggung
pelbagai azab demi mempertahankan kepercayaannya sebagaimana Bilal.”
Umaiyah bertanya lagi: “Adakah cara lain
yang engkau fikir boleh membuatkan dia mengubah pendiriannya?”
“Begini,” kata Abu Jahal memulakan pendapatnya.” Bukankah hari amat
panas sekali, jadi pakaikan dia dengan pakaian besi kemudian kita
jemurkan dia di tengah padang pasir di luar kota Mekah. Aku percaya
budak hitam itu tidak akan dapat menahan kepanasan besi dan cahaya
matahari yang membakar itu.”
Umaiyah bertanya lagi: ”Adakah perbuatan
ini akan berhasil?” “Tentu sekali aku percaya dan yakin jika dia
mendengar rancangan kita ini tentu dia akan meminta ampun dan dengan itu
sudah tentu dia akan kembali kepada agama asalnya,” Kata Abu Jahal
dengan penuh yakin.
Setelah segala rangcangan mereka siap
diatur maka mereka pun menangkap Bilal dan dipakaikannya dengan sehelai
baju besi. Kemudian mereka pun membawa Bilal ketengah padang pasir
dengan kakinya dirantai.
Setibanya di tengah padang pasir itu mereka pun meninggalkan Bilal keseorangan diri di antara batu-batu padang pasir itu.
Hari itu amat panas sekali sehingga
tidak ada sesiapapun yang sanggup berdiri lama di bawah sinaran matahari
pada masa itu. Manakala pada malam harinya pula keadaannya amat sejuk
sehingga terasa ke tulang hitam.
Azab yang diterima oleh Bilal tidak
terperi sakitnya. Bagaimanapun dia tidak mengeluh atau gentar menghadapi
segala percubaan yang diterimanya. Hatinya bulat, dia hanya berdoa
kepada Allah S.W.T. agar Allah S.W.T. menguatkan imannya di samping
memohon bantuan agar Allah S.W.T. melepaskan dia dari azab yang tidak
tertanggung itu.
Keesokan harinya Abu Jahal dan Umaiyah
datang menemui Bilal. Dalam hati mereka berdua menyangkakan tentulah
bilal akan bersujud kepada mereka meminta ampun dan berjanji akan
mengubah pegangannya.
Sebaik saja syaitan Quraisy itu
bersemuka dengan Bilal, semangatnya menjadi semakin kental mengadap
segala kemungkinan dan kemarahannya semakin meluap-luap terhadap kedua
manusia itu.
Abu Jahal mendekati Bilal lalu
membisikan sesuatu, katanya: “ Hai Bilal, bagaimanakah keadaan engkau
sekarang?” Kemudian Bilal menjawab: “ Ahad! Ahad!”
Mendengar perkataan itu, secara
tiba-tiba Abu Jahal menjadi marah. Hatinya berasa terlalu sakit
mendengar perkataan itu, bagi dia perkataan itu seolah-olah racun
baginya.
Lantas dia berkata kepada Bilal dengan
geramnya : “ Hei budak hitam, apakah kau masih mahu berkeras di atas
kesesatan engkau ini.”
Abu Jahal mengamuk dan meradang setelah
Bilal tetap dengan pendiriannya. Dia mencari-cari di sekelilingnya
kalau-kalau ada benda yang dapat di pergunakannya untuk membunuh Bilal
pada masa itu. Kemudian dia ternampak seketul batu besar tidak jauh dari
situ, lantas dia serta Umaiyah dan juga para pengikut yang mengiringin
mereka mengangkat batu besar itu dan meletakkannya di atas dada Bilal
bin Rabah.
Setelah batu itu diletakkan di atas
dadanya, Bilal merasa terlalu sukar untuk bernafas, tetapi dalam hatinya
masih menyeru “ Ahad! Ahad!”
Abu Jahal, Umaiyah dan para pengikutnya
mengugut Bilal mengatakan bahawa dia akan mati tidak lama lagi. Mereka
bersorak-sorak melihat keadaan Bilal semakin payah untuk bernafas dan
semakin perlahan pula suaranya menyebut “ Ahad! Ahad.” Akan tetapi gerak
bibirnya masih belum berhenti dari menyebut perkataan itu.
Segala harapan Abu Jahal untuk melihat
Bilal memohon ampun dan balik ke agama asal meleset sama sekali. Bahkan
bibir Bilal tidak henti-henti menyebut “Ahad! Ahad”’ malah adakalanya
kedengaran dia berdoa kepada Allah S.W.T. , katanya “ Ya Allah,
sekiranya mereka mahu membunuh aku agar aku menyekutukan Tuhan Ar Rahman
maka biarlah aku mati, daripada menyekutukan Tuhan. Aku tidak takut
mati, aku tidak takut mati, aku lebih takut menyekutukan Tuhan
Ar-Rahman. Ya Allah, Tuhan Ibrahim, Yunus, Musa dan Isa aku bermohon
kepadamu selamatkanlah aku dari siksaan ini.”
Doa Bilal yang kedengaran terketar-ketar
itu di dengari oleh Abu Jahal dan Umaiyah. Mereka berpandangan sesama
sendiri memikirkan apakah yang harus dilakukan lagi terhadap Bilal.
Kemudian Umaiyah berkata kepada Abu Jahal :” Bukankah sudah aku beritahu
pada engkau, tak guna lagi kita menyiksa budak itu. Dia memang keras
kepala, memang tak ada harapan yang dia akan mengikut agama kita lagi,
lebih baik saja kita bunuh dia.”
Dalam perkara ini Abu Jahal lebih pintar
dari Umaiyah. Sambil menundukkan kepada dia mencari-cari jalan
bagaimana hendak memaksa Bilal supaya dia kembali kafir. Membunuhnya
sebagaimana yang disarankan oleh Umaiyah adalah jalan yang terakhir
tetapi tidak menguntungkan mereka, sebaliknya dia akan membawa banyak
akibat dan kerugian kepada pihak Quraisy sendiri.
Kisah penderitaan Bilal menghadapi siksa
dari pihak Quraisy akhirnya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah
S.A.W. dan Saiyidina Abu Bakar Al Siddiq r.a. Setelah mendapat berita
itu, tanpa membuang masa Saiyidina Abu Bakar pun terus menuju ke tempat
Bilal di siksa itu. Di bawah kepanasan cahaya matahari Saiyidina Abu
Bakar meredah padang pasir yang luas itu.
Dari jauh dia nampak sekumpulan manusia
sedang mengerumuni sesuatu. Tanpa membuang masa Saiyidina Abu Bakar
datang kearah mereka, mereka pun berundur. Sebaik saja Saiyidina Abu
Bakar sampai disitu dilihatnya Bilal masih hidup dan dia tidak henti
menyebut “Ahad! Ahad!”, akan tetapi keadaanya begitu menyayat hati. Dia
meronta-ronta seperti separuh nyawa ikan. Batu besar yang menghempap
pada perutnya menyebabkan dia mengalami kesesakan nafas.
Melihat keadaan sahabatnya diperlakukan
begitu dia berasa amat hiba sekali, Saidina Abu Bakar yang biasanya
bersifat penyabar, lemah lembut dan tenang tiba-tiba saja melenting
marah bagai api menjulang. Api kemarahannya terlalu membara melihat
kejadian yang menyayatkan itu. Ketika itu dilihatnya Abu Jahal dan
Umaiyah adalah seperti budak kecil.
Dengan suara yang lantang dia berkata
kepada Abu Jahal: “ Sampai bila kamu akan menyiksa budak itu?” Kata
Umaiyah: ”Itu urusan kami, mengapa kau harus masuk campur, ini hamba
aku, aku boleh siksa dia sesuka hati aku dan aku boleh lepaskan dia bila
aku suka.”
“Apakah engkau tidak takut kepada Allah
melakukan siksaan seperti ini?”, kata Saiyidina Abu Bakar. Umaiyah
berkata lagi :” Cukup…cukup hai Abu Bakar! Kerana engkaulah maka dia aku
siksa dan engkaulah yang merosakkannya.” Jawab Abu Bakar dengan marah :
“ aku bukan merosakkannya, aku hanya menunjukkan jalan yang benar.”
“Sudah…sudah aku cukup mengerti perkara
itu, engkau tidak perlu menerangkannya. Hanya satu permintaan aku jangan
kau campuri urusan kami,” bentak Umaiyah.
“Kami tidak akan membiarkan perbuatan
kejam seperti ini dilakukan terutama sekali terhadap salah seorang teman
yang sefahaman dengan kami. Menyiksa dan memaksa dia sama dengan
menyiksa dan memaksa kami. Terus terang aku katakan bahawa aku akan
membelanya dan tidak akan meninggalkan tempat ini sebelum engkau
melepaskannya dan memerdekakan daripada penganiayaan yang kejam ini, “
tegas Abu Bakar geram.
“Kami semua sudah sepakat tidak akan
melepaskannya sehingga dia kembali kepada agama asalnya atau dia mati
dalam siksaan ini,” jawab Umaiyah pula. Kemudian Abu Bakar berkata lagi :
“ Engkau akan hampa saja hai Umaiyah. Sudah pasti dia tidak akan
kembali kepada agama asalnya setelah mendapat hidayah dari Allah.
Seperti orang yang berada dalam gelap gelita dia tidak akan mahu
ketempat gelap itu setelah menemui tempat yang terang benderang.”
Umaiyah berkata dengan marah: “ Wahai
Abu Bakar, apakah engkau datang ini untuk meminta ampunkan dosanya
daripada kami atau engkau datang ini untuk membantu dia menghina dan
memaki hamun Tuhan kami di hadapan muka kami sendiri?”
“Saya katakan kepada kamu semua bahawa
dia akan tetap berpegang kepada kepercayaannya sampai dia mati walaupun
dia disiksa”. “ Jadi adakah kamu mahu dia hidup dan saya beri dia makan
dan minum serta pakaian kemudian dia menghina dan mengejek-ngejek agama
kami setelah itu dia mengoda isteri dan anak-anak kami?” Sergah Umaiyah.
“Aku sedia membelinya.” Kata Abu Bakar
selamba. “ Engkau mahu membelinya,” kata Umaiyah seakan-akan terkejut. “
Benar….. aku mahu membelinya,” kata Abu Bakar. “Berapakah kamu sanggup
bayar,” Tanya Umaiyah. “ Berapa yang kamu minta,” jelas Abu Bakar.
Setelah berpakat dengan Abu Jahal,
Umaiyah pun berkata :” Lima wang emas ( setengah kilo).” Tanpa tawar
menawar abu Bakar terus membayarnya. Setelah urusan jual beli itu
selesai, tanpa membuang masa Saiyidina Abu Bakar berlari mendapatkan
Bilal yang sedang dihempap batu besar itu. Oleh kerana batu itu terlalu
besar Saiyidina Abu Bakar tidak berdaya mengangkatnya seorang diri.
Orang ramai yang tadi bersurai datang menolong Abu Bakar kerana
bersimpati dengannya. Kemudian batu besar itu Berjaya diangkat dan Bilal
pun terselamat dari siksaan seterusnya.
Saiyidina Abu Bakar terus memapah Bilal
untuk dibawa pulang mengadap Rasulullah S.A.W. Tidak lama kemudian
Saiyidina Abu Bakar memerdekakan Bilal. Akhirnya Bilal dibebaskan dan
tidak dikuasai oleh sesiapa lagi. Lantaran tingginya budi Saiyidina Abu
Bakar dan besar jihad beliau terhadap Islam maka turunlah ayat Quran
yang menyatakan kesalahan Umaiyah bin Khalaf serta memuji Saiyidina Abu
Bakar yang penuh dengan sifat kemanusiaan yang tiada bandingannya itu.
Pada zaman Rasulullah S.A.W., ketika
tiba waktu sembahyang Nabi S.A.W. menjadi iman dan Bilal r.a. menjadi
Mu’adzzin. Bilal r.a. memang terkenal dengan suaranya yang merdu.
Selepas Rasulullah S.A.W. wafat, Bilal meninggalkan kota Madinah.
Suatu ketika Bilal r.a. bermimpi bertemu
dengan Rasulullah S.A.W. dan berkata baginda dalam mimpinya, “Wahai
Bilal, mengapakah kamu tidak menziarahiku?” Sebaik sahaja Bilal terjaga
dari tidurnya, dia pun bersiap-siap untuk berangkat ke Madinah.
Setibnya di Madinah, Bilal r.a. bertemu
Hassan dan Hussain yakni cucu Rasulullah S.A.W., lalu mereka meminta
Bilal r.a. untuk melaungkan azan. Untu tidak menghampakan permintaan
dari orang-orang yang sangat dikasihinya, maka Bilal r.a. pun
mengalunkan azan.
Apabila suara Bilal berazan
berkumandang, maka keluarlah orang-orang dari kota Madinah tanpa segan
silu, sambil mengerluarkan air mata mengingati zaman kegemilangannya
yang dilalui bersama Rasulullah S.A.W.
Bilal r.a. terkenal dengan sifat kejujurannya, kesolehannya dan rendah hati.
Pada 20 hijrah, wafatlah Bilal r.a. dalam usia 60 tahun. Beliau dimakamkan di kota Damsyik berdekatan daerah Babus Saghir.