IKLAN

Jumaat, 17 Jun 2011

AMINAH ASSILMI - siri 2




Kembali kepada fitrah Islam, atau boleh dikatakan bertukar ke suatu kepercayaan agama yang baru bukanlah mudah, mungkin terkecuali kepada beberapa individu yang dipermudahkan urusannya oleh Allah swt. Kebanyakan muallaf berhadapan dengan pelbagai kesukaran.


 Ini termasuk disisihkan keluarga dan rakan-rakan. Kalaupun tidak disisihkan, biasanya mereka diberi tekanan untuk kembali kepada kepercayaan agama keluarganya. Ada juga, beberapa kes muallaf yang berhadapan dengan kesusahan dari sudut ekonomi yang serius. Walau sebahagian dari mereka bernasib baik kerana terus dihormati oleh ahli keluarga dan teman-teman, tetapi kebiasaannya akan menghadapi kesusahan. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah ujian yang sangat dasyat terutama dalam tahun-tahun awal beragama Islam.

Tetapi kepayahan yang dialami dan dilalui Amina Assilmi, serta pengorbanan yang terpaksa dilakukan seakan-akan satu kisah baru. Boleh dibilang dengan jari mereka yang bersungguh-sungguh menyandarkan diri kepada Allah swt sebagaimana yang telah dilakukan Amina. Berdiri teguh dan menghadapi cabaran, namun masih mengekalkan pendirian positif dan berupaya menarik simpati mereka di sekelilingnya dengan keindahan yang telah ditemuinya dan diyakininya.

Dia kehilangan kebanyakan rakan-rakannya kerana dia bukan lagi seorang yang “seronok didampingi” apatah Amina juga tidak berminat mencari teman lelaki. Ibunya langsung menolak keIslaman anaknya dan berharap ini hanyalah satu fasa yang sementara dalam hidupnya. Saudara perempuannya yang ‘pakar sakit jiwa’ mengatakan dia telah gila dan nekad memasukkannya ke institut sakit jiwa.

Ayah Amina merupakan seorang lelaki yang tenang dan penuh hikmah. Ramai yang akan mencarinya untuk mendengar nasihat, dan dia juga bijak dalam mententeramkan seorang yang dalam keributan hidup. Tapi, bila mendengar Amina telah masuk Islam, dia telah mengisi peluru ke dalam senapang gajahnya untuk membunuh anaknya. “Lebih baik dia mati dari terseksa dalam neraka yang paling dalam” katanya. Amina sekarang kehilangan kawan-kawan dan ahli keluarga.

Dengan bertambahnya ilmu tentang Islam, perubahan diri Amina nampak lebih terserlah. Tidak sampai setahun setelah melafazan Syahadah, Amina mula memakai tudung. Pada hari dia mula memakai tudung tersebut, Amina dibuang kerja. Sekarang Amina tiada saudara-mara, kawan-kawan dan kerja. Tetapi pengorbanan terbesar Amina bukanlah setakat di situ.

Amina dan suaminya saling mecintai satu sama lain. Namun, dalam proses Amina mengkaji Islam, suaminya telah bersalah anggap dengan perubahan dirinya. Perubahan ini ketara bagi suami Amina dan dia mengesyaki Amina menjalin hubungan curang dengan lelaki lain, yang kerana lelaki itulah isterinya berubah. Amina tidak dapat memberi penjelasan apa yang berlaku pada dirinya. “Tidak ada cara pada ketika itu untuk saya memahamkan dirinya tentang perubahan yang saya alami, kerana saya juga tidak tahu sebabnya.”   

Selepas dia secara terbuka menerima Islam, keadaan bertambah buruk kerana perceraian memang tidak dapat dielakkan. Pada tahun-tahun tersebut, Islam masih lagi sesuatu yang sangat asing apatah lagi difahami dengan baik di Amerika. Amina mempunyai dua orang anak kecil yang terlalu disayanginya dan sepatutnya diberikan hak penjagaan anak. Namun, dalam satu perlanggaran sisi keadilan, haknya telah dinafikan kerana dia seorang Muslim. Sebelum keputusan dibacakan mahkamah, Hakim menawarkan satu pilihan yang sukar; kembali kepada agama asal dan hak penjagaan anak akan diberikan kepadanya. Ataupun, kekal beragama Islam dan tinggalkan anak-anaknya. Dia diberi masa 20 minit untuk berfikir dan membuat keputusan.
Amina sangat mengasihi anak-anaknya, mungkin inilah mimpi ngeri bagi seorang ibu; bila mana diminta merelakan anak-anaknya ditinggalkan, bukan sehari, sebulan atau setahun tetapi selama-lamanya. Mengambil jalan alternatif dengan meninggalan Islam – adakah dia dapat hidup secara pura-pura dan menyembunyikan kebenaran Islam daripada anak-anaknya? “Itu adalah 20 minit paling perit dalam hidup saya”, kata Amina dalam satu temuduga.

 Bagi seorang ibu atau pun ayah, terutama yang mempunyai anak yang masih kecil, kita tidak perlu berfikir terlalu panjang untuk merasai betapa seksanya jiwa dan perasaan dalam setiap detik 20 minit tersebut. Yang lebih menyedihkan adalah kerana Amina sudah dimakluman doktor sebelum ini dia tidak dapat menerima cahaya mata baru lagi kerana komplikasi kesihatan. “Saya berdoa dengan kesungguhan yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini... Saya tahu tidak ada tempat lain yang lebih selamat untuk anak-anak saya melainkan di bawah naungan Allah. Jika saya menafikanNya, tidak ada apa-apa cara pun lagi untuk saya menunjukkan keindahan hidup bersama Allah kepada mereka di masa hadapan”.      

Amina membuat keputusan untuk kekal dalam Islam. Dua anak yang teramat dikasihinya – seorang lelaki dan seorang perempuan – telah diambil dan diletakkan di bawah jagaan bekas suaminya. Bagi seorang ibu, apakah ada sebuah pengorbanan yang lebih tinggi – pengorbanan yang dibuat bukan kerana habuan material, tetapi untuk membenarkan sebuah keyakinan?

“Saya meninggalkan mahkamah, dengan mengetahui kehidupan tanpa anak-anak pasti sangat berat bagi saya. Hati saya bagai terluka berdarah, walaupun saya tahu saya telah mengambil keputusan yang paling betul.” 

Amina menemukan ketenangan dalam ayat Qur’an berikut: 

Allah, tiada Tuhan melainkan Dia. Yang Maha Hidup, Yang Terus Menerus Mengurus (makhlukNya), tidak mengantuk dan tidak tidur. MilikNya apa yang ada di bumi. Tidak ada yang dapat memberi syafaat di sisiNya tanpa izinNya. Dia mengetahui apa yang ada di hadapan dan apa yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmuNya melainkan apa yang Dia kehendaki. KursiNya meliputi langit dan bumi. Dan Dia tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Dia Maha Tinggi, Maha Besar. (2,255).

Saudara Omar bin Abd Aziz

Ahad, 12 Jun 2011

AMINAH ASSILMI - siri 1


Amina Assilmi merupakan seorang penceramah Islam yang terkenal di Amerika Syarikat. Kisah perjalanannya menuju Islam benar-benar telah menyentuh jiwa individu-individu Muslim pelbagai lapisan kehidupan di Amerika Syarikat. Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Presiden di International Union of Muslim Women, yang beliau pernah terajui begitu jayanya dengan pelbagai pencapaian.

“Saya sangat bersyukur menjadi seorang Muslim. Islam adalah kehidupan saya. Islam adalah nadi jantung saya. Islam adalah darah yang mengalir dalam urat di tubuh badan saya. Islam adalah kekuatan saya. Islam adalah kehidupan saya yang sangat indah dan mempesonakan. Tanpa Islam, saya tiada apa-apa, dan sekiranya Allah memalingkan kebesaran WajahNya daripada saya, tidaklah mampu untuk saya terus bertahan...... ”             Amina Assilmi
Semuanya bermula dengan satu kesilapan komputer [^_^].
Amina merupakan seorang gadis jemaah ‘Southern Baptist’ – aliran Protesten terbesar di Amerika Syarikat, seorang feminis yang agak radikal, dan seorang jurnalis penyiaran. Dia adalah seorang yang mempunyai kaliber tersendiri, cemerlang di pengajiannya, berjaya menerima biasiswa, mempunyai perniagaan sendiri, bersaing secara profesional dan merupakan penerima beberapa anugerah -  semuanya ini ketika dia masih belajar di kolej. Pada suatu hari, satu kesilapan komputer telah memaksa Amina berperanan sebagai seorang aktivis Kristian. Namun, peristiwa ini juga telah berubah menjadi sesuatu di luar jangkaan; membawa diri Amina ke satu arah yang bertentangan ‘180 darjah’ dari sebelumnya.
Tahun 1975 merupakan tahun pertama bagi Kolej Amina menggunakan sistem perkomputeran untuk tujuan pra-pendaftaran kursus. Amina sedang menyelesaikan ijazah dalam bidang Rekreasi. Dia telah pra-mendaftar satu kursus dan telah keluar ke Bandar Oklahama untuk tujuan bisnes. Kepulangannya tertangguh, dan mengakibatkan Amina pulang lewat 2 minggu ke kelasnya. Menguasai subjek semula bukanlah masalah besar baginya. Tapi Amina sangat terkejut bila mendapati dirinya telah didaftarkan untuk kelas teater secara tidak sengaja. Amina gundah bila memikirkan dirinya terpaksa membuat pertunjukan di hadapan orang ramai. Namun kerana sudah lewat, dia tidak dapat menggugurkan kelas tersebut. Menggagalkan subjek tersebut dengan sengaja bukan pilihan baginya juga, kerana dia seorang penerima biasiswa untuk pembiayaan tuisyen di kolej. Menerima ‘F’ boleh mengakibatkan biasiswanya ditarik semula.
Menerima nasihat daripada suaminya, Amina bertemu dengan guru teater dan meminta izin untuk bertindak sebagai orang di belakang tabir sahaja bagi persembahan teaternya kelak. Yakin dengan persetujuan yang diberikan kepadanya, Amina pergi ke kelas esok hari, tetapi sangat terkejut bila mendapati kelas teater tersebut penuh dengan pelajar berbangsa Arab. Kerana tidak dapat menerima kenyataan ini, dia pulang ke rumah dan membuat keputusan untuk tidak lagi hadir ke kelas teater. Dia rasa tidak berkemungkinan dia boleh duduk di tengah-tengah pelajar Arab dalam kelasnya. Tak mungkin saya akan duduk dalam satu bilik penuh dengan orang yang tidak menyembah ‘Tuhan’ lagi tidak suci. Katanya.
Suaminya bersikap tenang seperti biasa. Dia memperingatkan Amina bahawa Tuhan pasti menyediakan tujuan untuk setiap perkara yang berlaku dan memberitahu dia sepatutnya berfikir lebih mendalam sebelum mengambil keputusan untuk berhenti. Lagipun, Amina perlu fikirkan biasiswa yang diterimanya. Amina mengambil 2 hari untuk berfikir dengan lebih teliti tentang kelas teaternya, dan akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan kelas tersebut. Dia dapat merasakan Tuhan telah memberi satu tugasan untuk mendakyah rakan sekelasnya yang berbangsa Arab ke agama kristian.
Maka Amina menemukan satu misi untuk diselesaikan. Sepanjang kelas, dia akan berdiskusi berkenaan agama kristian kepada rakan-rakan kelasnya yang berbangsa Arab. Saya kemudiannya akan menerangkan kepada mereka bagaimana mereka akan dibakar selama-lamanya dalam neraka jika tidak menerima nabi Isa sebagai penyelamat. Mereka sangat sopan, tetapi tidak juga menerima agama Kristian. Kemudian saya terangkan bagaimana nabi Isa sangat mencintai mereka dan telah disalibkan untuk menyelamatkan mereka daripada dosa mereka. Mereka hanya perlu menerima baginda ke dalam hati mereka sahaja. Mereka masih tidak tersentuh dengan dakyah tersebut, maka Amina mengambil satu usaha yang lain; Saya mengambil keputusan untuk membaca kitab mereka untuk menunjukkan bahawa Islam agama yang tidak benar dan nabi Muhammad saw adalah nabi yang palsu”.
Di atas permintaannya, seorang daripada rakannya memberi sebuah naskhah terjemahan al-Quran dan sebuah lagi buku berkenaan Islam. Dengan dua rujukannya ini, Amina memulakan pencarian maklumat, yang mana akan diteruskannya untuk selama satu tahun setengah. Dia membaca al-Quran sepenuhnya ditambah lima belas buku lain tentang Islam. Kemudian dia akan kembali kepada al-Quran dan mengulangi bacaannya. Dalam kajiannya ini, dia akan mengambil nota beberapa perkara yang difikirkannya boleh dipertikaikan bagi membuktikan kepalsuan Islam.
Namun, tanpa disedari Amina sendiri semakin berubah peribadinya, dan perubahan ini disedari suaminya. Saya semain berubah, tidaklah banyak sangat tetapi sudah cukup untuk merisaukan suami saya. Biasanya kami akan ke Bar setiap Jumaat dan Sabtu, atau ke party, tapi saya tidak lagi berkeinginan untuk ke sana lagi. Saya menjadi lebih pendiam, semakin menjauhkan diri”. Amina berhenti meminum arak dan memakan daging khinzir. Suaminya mengesyaki dia sedang main kayu tiga bersama lelaki lain kerana hanya kerana lelakilah, seorang perempuan akan berubah”. Kemuncaknya, dia diminta tinggal berasingan di rumah lain. Amina kemudiannya berpindah ke sebuah pangsapuri bersama anak-anaknya, dan tetap berusaha mengajak sasaran dakyahnya kepada Kristian. 
Ketika saya mula-mula mengkaji Islam, saya tidak menjangka akan menemukan perkara penting yang diperlukan atau dikehendaki untuk kehidupan saya. Saya tidak terfikir Islam akan mengubah cara hidup saya. Tidak ada sesiapa pun yang dapat meyakinkan saya akan bertemu dengan ketenangan dan kebahagiaan yang mencurah-curah kerana Islam”.
Sepanjang pengajiannya tentang Islam, peribadi Amina berubah sedikit demi sedikit, walaupun dia masih kuat mempercayai Kristian. Kemudian pada satu hari, seorang telah mengetuk pintu kediamannya. Seorang lelaki muncul berpenampilan seperti berpakaian malam dengan serban merah putih di atas kepalanya. Lelaki itu berrnama Abdul Aziz Al-Sheikh dan ditemani tiga lelaki lain dengan pakaian yang seakan-akan sama. Amina merasa tidak selesa dengan kehadiran lelaki-lelaki Islam itu lebih-lebih lagi dengan pakaian sedemikian. Dia bertambah terkejut bila Abdul Aziz memberitahu yang dia dapat merasai keinginan Amina untuk menjadi seorang Muslim. Lantas Amina membangkang dengan menerangkan dia beragama Kristian dan tidak pernah bercadang menjadi Muslim. Tapi dia ada beberapa perkara yang ingin ditanya kalau mereka ada kelapangan waktu.
Di atas pelawaan Amina, keempat-empat lelaki tersebut masuk ke rumah Amina. Semua perkara yang dipertikaikan mengenai Islam seperti mana catatannya dahulu dibangkitkan. Saya tidak akan melupai namanya Amina berbicara tentang Abdul Aziz yang menunjukkan kesabaran yang tinggi dan bersikap lemah-lembut. Dia seorang yang sangat penyabar dan membincangkan setiap soalan dengan saya. Dia tidak pernah menunjukkan sikap memperkecilkan saya dan melecehkan mana-mana soalan ditanya. Abdul Aziz akan tekun mendengar setiap soalan dan bangkangan (terhadap Islam) dan menerangkannya kembali dalam konteks yang lebih baik. Dia menerangkan bahawa Allah telah menyuruh kita mencari ilmu, dan bertanya adalah satu cara memenuhi tuntutan tersebut. Bila mana dia menerangkan sesuatu, ia seperti melihat sekuntum bunga ros yang kelopaknya terbuka satu demi satu sehingga akhir sekali mengembang sepenuhnya. Bila mana saya beritahu saya tidak bersetuju dengannya berkenaan sesuatu dan menerangkan sebabnya, dia akan selalu membenarkan saya dari satu sisi. Kemudiaan dia akan menerangkan kepada saya bagaimana perkara-perkara tersebut boleh dilihat dengan lebih mendalam dari sudut pandang yang lain untuk mencapai maksud kefahaman yang lebih menyeluruh”.
Tidak lama dari perbualannya itu, Amina akhirnya membenarkan secara lisan, apa yang telah dibenarkan di sanubarinya. Pada waktu Asar hari yang sama, gadis yang pernah dibaptiskan ini menyaksikan syahadahnya di hadapan Abdul Aziz dan teman-temannya. Saya naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Hari tersebut adalah 21 Mei 1977.  Namun, ada beberapa perkara yang Amina masih tidak menerima dan memang sifat semula jadinya untuk berterus terang. Maka dia pun menambah, “Tapi saya tak akan menutup rambut saya dan kalau saya ada seorang suami yang berkahwin lebih dari seorang, saya akan memotong kemaluannya.”


oleh :
Saudara Omar bin Abd Aziz

Rujukan:

3)      http://muslimmatters.org/2010/03/06/our-condolences-at-the-passing-of-aminah-assilmi/

IKLAN 3