Assalamualaikum wbt
Menjadi seorang muslim bukan perkara yang mustahil padi mana2 non muslim. Asal Allah buka ja pintu hati diorang maka "kun faya kun".Apa kata kita kenali wanita manis yang tertarik kepada Islam hanya kerana keinginan hatinya yang membuak-buak tiba2
BEBERAPA hari ini fikiran dan perasaan Li Nee a/p Chian berkecamuk.
Serba-serbi yang dibuat bagai ada yang tidak kena. Ini semua gara-gara
e-mel yang dihantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
tempoh hari. Rasanya sudah seminggu berlalu, namun satu respons pun
tidak diterima. Benarlah bagai dikata, penantian itu satu penyiksaan.
Apatah lagi, e-mel tersebut membayangkan gejolak di jiwanya yang
berkaitan agama Islam.
Bicara e-mel yang berbunyi: Bagaimana saya
hendak belajar tentang Islam? Sekali lagi cuba dihantar, tetapi kali
ini kepada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Itupun setelah puas
melayari Internet dengan harapan ada pihak yang peduli akan luahannya
itu. Bentak hati kecil gadis berbangsa Siam, itulah kiriman e-mel
terakhir, tidak ada yang ketiga atau seterusnya selepas dari ini.
Petang
itu, Li Nee terkejut. Di peti e-melnya tertera kiriman balas e-mel dari
IKIM. “Takkanlah dah terima e-mel balas sedangkan baru pagi tadi
dihantar,” tanya penuntut tahun satu bidang kejuruteraan awam di
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kehairanan.
Nota
berbunyi: Bolehkah kita berjumpa? Kiriman Nur Azaruddin, seorang pegawai
di IKIM dibaca tenang. Biarpun ringkas tetapi begitu terkesan di hati
gadis kelahiran Pendang, Kedah ini. “Esok saya akan ke IKIM. Terima
kasih,” balas Li Nee pendek.
Rentetan beberapa siri pertemuan
dengan Nur Azaruddin, selang tiga bulan kemudian, Li Nee mengucap dua
kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Kajang, Selangor, dan 20 April
2004 adalah tarikh keramat dalam lembaran baru kehidupan beliau bergelar
Muslim.
Baru-baru ini, kesempatan berkunjung ke rumah pasangan
Nur Ain dengan pemuda kelahiran Muar, Johor, Mohamad Shukri Boros,
masing-masing 29 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor, menyingkap kisah
penghijrahan akidah anak sulung daripada dua adik-beradik ini. Pasangan
bahagia ini mendirikan rumah tangga pada penghujung 2006.
“Ketika
zaman sekolah lagi, saya sudah idamkan sebuah keluarga yang aman damai,
lebih-lebih lagi bila melihat keluarga teman-teman Melayu. Pada masa
itu tidak melihat sangat daripada aspek keagamaan mereka, tetapi lebih
kepada cara hidup mereka. Yang tua hormat yang muda dan begitu juga
sebaliknya malah jarang sekali melihat perbalahan antara ahli keluarga.
“Kemudian
apabila menyambung pelajaran ke sekolah vokasional dan kemudian
meneruskan pengajian peringkat diploma di Politeknik Sultan Haji Ahmad
Shah, Kuantan, Pahang keinginan untuk mengetahui tentang Islam terkubur
selama setahun sehinggalah sewaktu belajar di UKM, ia kembali serius.
“Saya
tidak menafikan faktor penarik saya kepada Islam salah satu kerana saya
sudah berkawan dengan pemuda Melayu. Namun jauh di sudut hati,
kecantikan dan kesyumulan Islam itulah yang melahirkan rasa kecintaan
kepada Allah yang Esa. Malah saya bersyukur Allah mempertemukan saya
dengan individu yang memberi penjelasan dan contoh tauladan tentang
Islam secara jelas dan menyakinkan, selain menerusi pembacaan,” akui Nur
Ain seraya menyenaraikan nama-nama seperti Nur Azaruddin, Nur Atirah
Masyaail Tan, Che Yusof Tahir dan isterinya, Ustazah Nasroh (keluarga
angkat) sebagai pembimbing hingga ke hari ini.
Tambah Nur Ain,
sebaik diri bergelar Muslim, beliau cuba merahsiakan pengislaman diri
daripada pengetahuan keluarga kandung. Tegasnya, tindakan yang boleh
dianggap membelakangkan keluarga itu tidak bermaksud meminggirkan
keluarga tetapi lebih kepada faktor keselamatan diri.
Pun begitu,
rahsia besar itu sampai juga ke pengetahuan keluarga selepas berjaya
disembunyikan selama setahun. Semuanya terbongkar apabila Nur Ain
bertembung dengan adik kepada teman sepupunya di kampung.
“Ayah
menelefon saya inginkan kepastian tetapi saya menafikannya. Bila
membohongi keluarga, timbul juga rasa bersalah lalu saya mengambil
keputusan memberitahu dengan mengutus sepucuk surat kepada adik membuat
pengakuan.
“Saya agak takut juga apabila keluarga bergegas ke UKM
sebaik mengetahui pengislaman saya. Mereka mahu membawa saya ‘kembali’.
Alhamdulillah, banyak pihak yang membantu meredakan situasi ketika itu.
Kalau tidak tak tahulah bagaimana keadaan saya,” kata Nur Ain yang
bertugas sebagai jurutera awam di sebuah syarikat hartanah di Taman
Desa, Kuala Lumpur.
Malah Nur Ain bersyukur ayah dan adiknya
sudah boleh menerima walaupun hubungannya dengan ibu masih dingin tetapi
tidaklah seteruk pada peringkat awal dulu. Biar bagaimanapun perang
psikologi yang ibu lakukan, kata Nur Ain, beliau berserah kepada Allah
SWT dan yakin hanya masa mampu memperbaiki keretakan yang berlaku itu.
Yang
pasti, ramai bukan Islam mempunyai persepsi yang tidak tepat tentang
Islam dan perkara ini mengundang salah faham yang lebih jauh.
Hakikatnya, apa yang diidamkan selama ini ditemui di dalam agama Islam,
selain sifat-sifat yang negatif sewaktu belum Islam nampak perubahannya
hanya dengan menggunakan terapi Islamik menerusi ajaran Islam.
Sumber:Utusan