IKLAN

Selasa, 3 Mei 2011

KETABAHAN MASYARAKAT JEPUN

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini bertitah dunia kini menyaksikan kehebatan masyarakat Jepun yang tabah berdepan malapetaka sehingga menjadi inspirasi kepada semua. "Kini, dunia sekali lagi memandang ke timur, kali ini bukan untuk menyaksikan kepakaran pembangunan dan teknologinya, namun ke dalam hati sanubari rakyat Jepun.

"Ini termasuk kekuatan dan ketabahan serta tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. Kini, ketika berdepan malapetaka yang dahsyat, Jepun masih menjadi inspirasi kepada dunia. "Penduduknya membuktikan bahawa manusia mampu menguasai naluri asas kehidupan demi kebaikan bersama. Mereka mempamerkan kecekalan, ketenangan, maruah dan kemurahan hati yang menjadi nilai budaya mereka selama ini," titah baginda.
Raja Dr Nazrin bertitah demikian pada majlis sumbangan lebih RM600,000 kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima bagi membantu mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun, di kediaman Menteri Besar Perak di sini. Baginda bertitah dunia turut menyaksikan bagaimana penduduk di wilayah yang teruk terjejas dengan bencana itu tidak teragak-agak untuk membantu orang lain, walaupun kediaman sendiri musnah dan harta benda milik mereka hilang.
"Walaupun mereka mempunyai sebab yang kukuh untuk menangis, mereka melakukannya secara terkawal. Mereka mempunyai sifat semula jadi untuk terus cekal dan bersopan. Lelaki dan wanita yang tegap dan sihat membawa bekalan kepada mangsa selain sanggup menyerahkan catuan makanan sendiri kepada keluarga yang mempunyai anak serta warga emas.
"Terdapat 500,000 orang yang dipindahkan, namun tidak berlaku kejadian berasak-asakan, rusuhan atau desakan. "Ketenangan mangsa yang berbaris panjang sehingga berkilometer jauhnya untuk mendapatkan makanan, minuman dan minyak, ternyata mampu mengatasi keganasan gempa bumi yang menggegarkan negara mereka. Kemesraan mereka terhadap satu sama lain juga mampu melawan cuaca sejuk yang perlu ditempuhi," titah baginda.
Raja Muda Perak turut menyampaikan rasa simpati Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun serta seluruh rakyat negeri itu kepada Maharaja Jepun Maharaja Akihito, Maharaini Michiko dan seluruh rakyatnya di atas tragedi tsunami yang berlaku pada 11 Mac lalu.
- Ipoh, 27 Mac 2011

http://www.iluvislam.com/berita/dunia/1961-ketabahan-masyarakat-jepun-dikagumi-dunia.html

Tiada ulasan:

IKLAN 3